Menerusi filem ini, penonton akan dibawa menyelusuri hari-hari Bieber, sebelum beliau beraksi untuk sebuah konsert yang bakal diadakan di Madison Square Garden, New York, arena persembahan paling terkenal di dunia.

Kekuatan dokumentari ini jelas terletak pada plot yang disusun dengan meyakinkan dari babak pertama hingga ke akhir. Walaupun diselang-selikan dengan persembahan 'live' Bieber di atas pentas, namun ia tidak sekalipun mencetuskan rasa bosan, malah membangkitkan lagi 'mood' tontonan kerana kita dapat melihat sendiri, bagaimana penyanyi ini beraksi dengan cukup selesa. Penonton pasti akan terhibur dengan rangkaian lagu hit yang menjadi siualan remaja dunia seperti 'Baby', 'One Time', 'One Less Lonely Girl' dan banyak lagi.
Kisah hidup Bieber dalam menggapai impiannya ini sememangnya mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi. Jadi tidak mustahil ianya dijadikan bahan dagangan oleh syarikat penerbitan filem. Tetapi situasi ini tidak perlu dianggap sebagai sesuatu yang negatif kerana ternyata kisah seperti ini wajar dijadikan panduan dan juga boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang tidak kira apa jua usia dan bangsa.
Bieber bukan sahaja boleh menyanyi malah beliau juga berbakat dalam seni penciptaan lagu. Walaupun mungkin suaranya tidak sehebat Usher, mahupun lagenda besar seperti Luther Vandross dan Michael Jackson, tetapi bakatnya ternyata menjangkau usianya sendiri.

Bieber mempunyai satu aura yang bisa membuat seseorang terpukau dengan apa yang dilakukannya mampu untuk menguasai penontonnya. Kemampuannya untuk menarik perhatian orang ramai, adalah suatu kuasa yang amat diimpikan oleh setiap penyanyi dan penghibur.
Beliau jelas dilahirkan untuk menjadi seorang penghibur. Filem ini membuktikan perihal yang sebenar. Mungkin agak keterlaluan apabila nakshah ini kerap menyogok penonton dengan sorakan dan jeritan gadis-gadis muda yang menjadi pengikut setia Bieber semenjak awal kariernya tetapi melalui itu jugalah, kita dapat mengetahui mengapa Bieber menjadi kegilaan mereka. Sesetengah penonton mungkin akan meluat dengan sikap fanatik mereka tetapi kalau difikirkan kembali, suatu masa dahulu, mungkin kita pernah menjadi seperti mereka, bukan? (rujuk fenomena juara Akademi Fantasia 3, Mawi)

Cerita yang dikongsikan dalam filem ini seharusnya dapat dijadikan inspirasi untuk setiap daripada kita yang mempunyai mimpi. Dengan keikhlasan, setiap kerja keras yang dilakukan untuk mencapai impian, pasti akan terbalas sekiranya dilaksanakan pada jalan yang betul. Mungkin dalam masa beberapa tahun lagi, nama Bieber tidak akan sehangat seperti sekarang tetapi yang pastinya, beliau kini berdiri megah, setanding dengan bintang hebat antarabangsa yang lain kerana beliau berjaya membuat dunia tunduk kepadanya sehingga menggelarkan diri mereka sebagai, ‘the Beliebers’!
Never say never to your dream and never say never to Bieber!
0 comments:
Post a Comment